Raja Ali Haji
bin Raja Haji Ahmad (k.k. 1808
- k.k. 1873) atau lebih dikenal sebagai Raja Ali
Haji, ialah ulama, ahli sejarah, serta pujangga
Melayu-Bugis,
dan terutamanya pencatat pertama dasar-dasar tatabahasa bahasa Melayu melalui Pedoman Bahasa,
buku yang telah menjadi piawai bahasa Melayu. Bahasa Melayu baku inilah
yang ditetapkan sebagai bahasa Indonesia,
bahasa rasmi negara Indonesia, dalam Kongres
Pemuda Indonesia pada 28 Oktober 1928.
Dilahirkan di
Pulau Penyengat, Kepulauan Riau, Raja Ali Haji merupakan
keturunan kedua (cucu) kepada Raja Haji
Fisabilillah, Yang
Dipertuan IV dari Kesultanan
Lingga-Riau. Mahakaryanya, Gurindam Dua Belas, yang
diterbitkan pada tahun 1847 menjadi pembaharu arah aliran kesusasteraan pada zamannya. Raja Ali Haji
yang berpendidikan Arab masih mengekalkan bahasa Melayu Klasik yang banyak
mempengaruhi oleh perkataan Arab dan struktur Arab.
Pada tahun
1822 sewaktu Raja Ali Haji masih kecil, beliau pernah dibawa oleh orang tuanya
ke Betawi (Jakarta). Ketika itu bapaknya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk
menjumpai Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji
Ahmad menjadi utusan kerajaan Riau ke Jawa, waktu yang berguna itu telah
dimanfaatkan oleh puteranya Raja Ali untuk menemui banyak ulama, untuk memperdalam
ilmu pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering
dikunjunginya oleh beliau ialah Sayyid Abdur Rahman al-Mashri. Raja Ali Haji
sempat belajar ilmu falak dengan beliau. Selain dapat mendalami ilmu keislaman,
Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan
dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van Der Waal
yang kemudian menjadi sahabatnya.
Kira-kira
tahun 1827/1243H Raja Ali Haji mengikut bapanya Raja Ahmad pergi ke Makkah al-Musyarrafah.
Raja Ahmad dan Raja Ali Haji adalah di antara anak Raja Riau yang pertama
menunaikan ibadah haji ketika itu. Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah
dalam jangka masa yang agak lama. Semasa di Mekah Raja Ali Haji sempat bergaul
dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau sempat belajar beberapa
bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab dengan Syeikh Daud bin Abdullah
al-Fathani yang ketika itu menjadi Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh di
kalangan masyarakat Melayu di Mekah. Beliau bersahabat dengan salah seorang
anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin
bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itulah,
Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya datang
ke Riau, dan jika ulama tersebut bersetuju untuk datang, ulama itu akan
dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji
Ahmad dan puteranya Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke
Kairo (Mesir), setelah itu kembali ke negerinya Pulau Penyengat, Riau.
Pada zaman
dahulu, kerajaan Riau-Johor memiliki ramai ulama antaranya Habib Syaikh
keturuan as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah
al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri dan ramai lagi. Tambahan
lagi, saudara sepupu Raja Ali Haji yang bernama Raja Ali bin Raja Ja’far
menjadi Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857) menggantikan
saudaranya Raja Abdur Rahman bin Raja Haji Yamtuan Muda Kerajaan Riau VII (taun
1833-1845). Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara
sepupunya itu untuk mengajar agama Islam, Raja Ali bin Raja Ja’far juga turut
belajar dengan Raja Ali Haji.
Setelah
sekian lama, Raja Ali Haji terjun ke bidang pendidikan. Beliau dikatakan telah
mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasauf dan
lain-lain. Raja Ali Haji mempunyai kepakaran yang tinggi dalam ilmu pengetahuan
Islam, bahkan beliau memang seorang ulama besar pada zamannya.
Ramai anak
murid Raja Ali Haji yang telah menjadi tokoh terkemuka, di antaranya Raja Haji
Abdullah yang kemudian menjadi Yamtuan Muda Riau IX, tahun 1857-1858, Saiyid
Syaikh bin Ahmad al-Hadi.
Dalam ilmu
syariat, Raja Ali Haji berpegang teguh dengan Mazhab Syafie, dalam iktikad
berpegang akan faham Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi,
sedang dalam amalan tasawuf beliau adalah seorang penganut Tarekat
Naqsyabandiyah dan mengamalkan Sholawat Dalail al-Khairat yang dibangsakan
kepada Saiyid Sulaiman al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun sejak
datuk-datuknya terutama Raja Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika akan
meninggalnya masih tetap memegang kitab selawat tersebut di tangannya,
sementara pedang terhunus di tangannya yang satu lagi.
Raja Ali Haji
meninggal dunia di Riau pada sekitar tahun 1873.
Beliau ditetapkan oleh pemerintah Republik Indonesia sebagai pahlawan negara
pada tahun 2006.
Sumber:
Wikipedia, ensiklopedia bebas.
No comments:
Post a Comment